Thursday, October 11, 2012

Dari Fikratul Ummah Keluaran Muharram 1433H


Seruan Muslimah: Refleksi Haji Zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah serta ahlinya dan sekalian sahabatnya.

Para pembaca yang dirahmati,

Tibalah kini bulan Zulhijjah, bulan sebahagian umat Islam memenuhi undangan Allah menuju ke rumah-Nya dan melaksanakan qurban. Agar ibadah kita dijalankan dengan penuh keinsafan, marilah kita meneguk sedikit pengajaran daripada kisah haji dalam hidup junjungan kita Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seperti mana ternukil dalam Sirah Nabawiyyah.

Beberapa tahun sebelum berlakunya hijrah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mula memanfaatkan musim haji untuk misi dakwah kepada penduduk luar Mekah. Dakwah baginda bukanlah seruan tauhid semata-mata, malah satu usaha politik yang dinamakan thalabun nusrah, iaitu usaha untuk mendapatkan sokongan kaum yang akan memberikan tapak dan kekuatan untuk melaksanakan Islam dalam bentuk negara. Hasil usaha inilah berlakunya Bai’ah ‘Aqabah, yang membawa kepada hijrah dan tertegaknya negara Islam.

Setelah dakwah dan jihad mencapai kegemilangannya dengan Fathu Mekah dan pengislaman sebahagian besar penduduk tanah Arab, pada musim haji tahun kesembilan hijrah, Allah menurunkan surah Bara’ah (At-Taubah), sebuah surah yang sarat dengan pernyataan kemuliaan Islam dan kaum muslimin yang memperjuangkannya. Ayat 17-19 surah ini menyangkal pembesar Quraisy musyrik yang merasakan diri mereka sudah cukup mulia dengan tinggal di tanah suci, menyantuni jemaah haji dan memakmurkan Baitullah dengan pernyataan  “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”  [TMQ At-Taubah (9):19]

Dengan turunnya surah Bara’ah, secara rasminya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengumumkan bahawa ibadah haji di Baitullah dikhususkan untuk orang Islam sahaja dan mengikut pelaksanaan haji yang telah digariskan Islam sahaja (Diriwayatkan dalam beberapa hadis, antaranya Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0216). Sungguh Allah telah memuliakan seluruh muslimin melalui usaha dakwah yang mulia.

Musim haji tahun kesepuluh hijrah, barulah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengerjakan haji, satu-satunya haji Nabi selepas hijrah (Haji Wada’). Pada masa ini, baginda telah memberi khutbah yang disaksikan oleh lebih 100,000 umat Islam, sebagai isyarat bahawa misi kenabiannya hampir mencapai penamatnya. (Terjemahan makna sebahagian kecil hadis yang menukilkan khutbah-khutbah ini dipaparkan di muka surat berikut.) Tidak lama kemudian semasa di Arafah, turunlah wahyu yang menyatakan kesempurnaan ajaran Islam: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [TMQ Al-Maidah (5):3]

Wahai pembaca yang dikasihi!

Tidakkah anda perhatikan, betapa musim haji menjadi hari pertemuan dan pengumpulan pelbagai kaum, dan telah dimanfaatkan oleh suri teladan kita ini sebagai momentum mencapai kejayaan politik? Bermula  dengan thalabun nusrah, pengumuman Surah At-Taubah, hinggalah penyampaian khutbah-khutbah penting berkenaan aspek-aspek Islam berkaitan ibadah, sistem politik, ekonomi dan sosial.

Lihatlah bahawa nabi kita mengajar umatnya bahawa semua ajaran Islam perlu dilaksanakan mengikut kaedah Islam yang unik, tanpa mengasing antara amalan duniawi dan ukhrawi. Perbanyakkanlah amal ibadat, perbaikilah diri, tegakkanlah amar ma’ruf nahi munkar, dapatkanlah kekuasaan, uruskanlah kekayaan, laksanakanlah semuanya kerana semuanya adalah ajaran Islam! Oleh itu, tiada sebab untuk umat Islam menyangkal kesucian siyasah (politik) Islam dalam erti kata menjaga urusan umat di dalam dan luar negara. Ketahuilah, bahawa berpolitik mengikut cara Islam seperti dicontohkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan pewaris-pewaris perjuangannya itu adalah kewajipan!

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memikul tugas suci ini, semoga ia menjadi amalan yang membawa kita kepada keredhaan-Nya, sebagaimana sebuah haji yang mabrur. Sahutlah panggilan-Nya, Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda wanni’mata laka walmulk, la syarika lak (Ya Allah kami menyahut panggilan-Mu, kami menyahut panggilan-Mu tiada sekutu bagi-Mu kami menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kekuasaan adalah bagi-Mu, tiada sekutu bagi-Mu)!

Antara Hadis Khutbah Haji Wada’

“Wahai para manusia, ingatlah sesungguhnya Tuhanmu itu satu, dan bapamu itu satu. Ingatlah, tidak ada keutamaan bagi orang Arab atas orang ajam/asing, dan tidak bagi orang ajam atas orang Arab, tidak bagi orang kulit merah atas kulit hitam, dan tidak bagi orang kulit hitam atas kulit merah kecuali dengan taqwa…”[Musnad Ahmad nombor 22978]

"Hai manusia! Ketahuilah hari apa yang paling diharamkan?" Baginda ulang pertanyaan itu tiga kali. Mereka menjawab: "Hari haji akbar (hari Nahr).". Baginda bersabda:" Sesungguhnya darahmu dan hartamu serta kehormatanmu adalah haram di antara kamu, sebagaimana haramnya harimu ini, di bulan kalian ini dan di negerimu ini. Ketahuilah! Seseorang itu tidak menanggung perbuatan dosa kecuali atas dosanya sendiri. Dan seorang ayah tidak menanggung atas dosa anaknya, dan seorang anak tidak menanggung atas dosa ayahnya. Ketahuilah! Bahawa syaitan telah putus asa untuk disembah di negerimu ini selamanya. Akan tetapi dia akan ditaati pada sebahagian amalan yang kamu anggap remeh, maka dia cukup rela dengan hal itu. Ketahuilah! Semua darah dari darah di masa Jahiliyyah itu batal. Dan darah yang pertama kali aku bebaskan daripadanya adalah darah Al-harits bin 'Abdul-Muhthalib (Dia Hudzail membunuhnya). Ketahuilah! Bahwa semua riba dan riba di masa Jahiliyyah adalah batal. Dan bagimu pokok hartamu (dengan begitu) kamu tidak menzalimi dan tidak pula dizalimi…[Sunan Ibnu Majjah Kitab Al-Manasik nombor 3055]

 “… Dan kamu semua akan menemui Tuhanmu kelak, lalu Dia akan menanya segala perbuatanmu. Kerana itu janganlah kamu kafir sepeninggalanku nanti, di mana sebahagian kamu memotong leher yang lain. Perhatikan! Hendaklah yang hadir sekarang ini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Mudah-mudahan orang yang disampaikan kepadanya amanatku ini lebih pandai mengamalkannya daripada yang mendengarkannya sendiri... [Sahih Muslim Kitab Al-Hajj nombor 797]

“... Ingatlah, segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakiku (iaitu telah dihapuskan)... Bertaqwalah kepada Allah dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’la dan telah dihalalkan farj mereka kepada kamu dengan kalimah Allah. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak boleh membenarkan sesiapa yang tidak kamu sukai menduduki tempat tidur kamu. Jika mereka lakukannya maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Hak mereka ke atas kamu ialah kamu menjaga makan pakai mereka dengan ma’ruf. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, yang kamu tidak akan sesat jika kamu berpegang teguh dengannya iaitu kitab Allah. Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalahmu dan menasihatkan.”Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil mengucapkan,“Ya Allah! Saksikanlah, Ya Allah! Saksikanlah” sebanyak tiga kali.” [Sahih Muslim, Kitab Al-Hajj, no 1218; Sunan Ibn Majah, Kitab Al-Manasik, no 3074; dan Sunan Abi Daud, Kitab Al-Manasik, no 1905]

No comments: