Thursday, October 11, 2012

IBADAH KORBAN


IBADAH KORBAN
Istilah korban :
Korban bermaksud hampir. Dari segi istilah bermaksud menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari Tasyrik, iaitu 11,12,13 Zulhijjah dengan tujuan untuk beribadat atau menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Dalil ibadat korban adalah :
Firman Allah SWT bermaksud : “ Sungguh, Kami telah memberimu (Muhammad ) nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorban ( sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah ). ” (Surah al-Kausar -1,2)
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “ Nabi saw telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasyi yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dan Baginda telah menyebut nama Allah SWT, bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibas tersebut.”
Hukum korban :
Hukum ibadah korban boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu :
Sunat muakkad – iaitu sangat dituntut ke atas umat Islam yang berkemampuan.
Wajib                - apabila bernazar
Tuntutan sunat muakkad adalah bagi orang yang cukup syarat-syaratnya iaitu seperti Islamsempurna akal dan baligh.
Binatang yang disyariatkan untuk korban :
Binatang tersebut hendaklah mempunyai ciri-ciri tidak cacat, tidak sakit, tidak buta, tidak berkurap dan tidak terlalu kurus, manakala binatang yang sah untuk dikorbankan adalah seperti berikut :
* Kambing biri-biri           – berusia 1 tahun ke atas
* Kambing biasa               - berusia 2 tahun ke atas
* Unta                               - berusia 5 tahun ke atas
* Lembu @ Kerbau         - 2 tahun ke atas
Antara hikmat melakukan ibadat korban 
1. Melatih dan membentuk mentaliti kaum Muslimim supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.

2. Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah ( 
تَقَرُّبْ إِلى اللهَ ) sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu ; sesungguhnya solatku ،hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allahs.w.t.

3. Menghidupkan sirah nabi Ibrahim yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum muslimim.


4. Peristiwa pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail mengisyaratkan kepada kita bahawa jalinan hubungan kejasama antara generasi terdahulu dengan golongan terkemudian, bakal melahirkan kejayaan dan kecemerlangan ummah.


5. Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.


Maksudnya : " Dan ( ingatlah ) tak kala Tuhan kamu memberitahu, " demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras ".

( Surah Ibrahim : 7 )

Artikel dari Pusat Islam UTeM

Thursday, July 26, 2012

KELEBIHAN BERPUASA


KELEBIHAN BERPUASA
1.Meninggikan Darjat
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وأغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين
Maksudnya: “Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibukakan segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan”. (HR. Bukhari)
كل عمل ابن آدم له إلا الصيام فإنه لي وأنا أجزي به والصيام جنة وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث يومئذٍ ولا يصخب فإن شاتمه أحدٌ أو قاتله فليقل إني امرؤ صائم إني صائم والذي نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله يوم القيامة من ريح المسك وللصائم فرحتان يفرحهما إذا أفطر فرح بفطره وإذا لقي ربه فرح بصومه
Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam ialah bagi dirinya kecuali puasa. Sesungguhnya ia terpulang bagiKu dan Aku yang membalasnya. Puasa ialah perisai, dan apabila seseorang dari kamu berada pada hari puasanya, maka janganlah kamu berkata dengan kata-kata yang keji serta berkelahi. Sekiranya ada yang mencaci atau mengajak untuk berkelahi, hendaklah menjawab “sesungguhnya aku sedang berpuasa”. Bau mulut orang orang yang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi disisi Allah pada hari kiamat nanti. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka puasa dan ketika bertemu dengan Tuhannya, ia bergembira dengan puasanya”.( HR Muttafaqun ’alaih)
2. Menghapuskan Dosa
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya: “Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan menjadi penghapus dosa di antara kedua-duanya selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar”. (HR Muslim)
3. Mengekang Nafsu Syahwat
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda, sesaiapa yang mampu daripada kalangan kamu al-Ba’ah (perkahwinan), maka berkahwinlah. Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan melindungi kemaluan. Sesiapa tidak mapu, maka hendaklah ia berpuasa. Sesungguhnya padanya (puasa ada al-Wija’(benteng)”. (HR Muttaqun ‘alaih)
SAMA-SAMALAH MEMANFAATKAN BULAN RAMADHAN DENGAN MENGHIDUPKAN KESELURUHAN HARI DENGAN MEMBACA AL-QURAN, BERIKTIKAF, BERZIKIR DAN LAIN-LAIN AMALAN SUNNAH.
"Semoga beroleh ketaqwaan"
PUSAT ISLAM
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA

Tuesday, July 24, 2012

Hadith palsu dan sohih berkenaan puasa dan Ramadhan

Hadis dhoif dan palsu berkaitan dengan bulan Ramadhan






Hadith Pertama:




لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِيْ رَمَضَانْ لَتَمَنَّتْ أُمَّتيِْ أَنْ يَكُوْنَ السَّنَة كُلّهَا




Maksudnya : Sekiranya seseorang itu tahu mengenai apa (Keistimewaan) yang ada dalam bulan Ramadhan itu, nescaya mereka akan mengimpikan agar puasa itu adalah selama setahun.




Imam Syaukani : Fawaid Majmu’at fi ahadith maudu’at : 1/254, Al-Jauzi dalam kitab al-Maudu’at : 2/ 188, Al-Haithami : Kitab Majmu’ Zawaid 3/ 141. Keseluruhan sepakat hadith ini adalah hadith Palsu.






Hadith Kedua:




رَجَبٌ شَهْرُ اللهِ وَ شَعْبَانُ شَهْرِيْ وَ رَمَضَانُ شَهْرِ أُمَّتِيْ




Maksudnya : Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan ku, dan Ramadhan bulan ummatku.




Ibnul Jauzi dalam al-Maudu’at: 2/117 , Az-Zahabi dalam Tarikhul Islam : 1/2990, Al-Syaukani dalam Fawaid Majmuah fi Ahadith Maudu’at: 95, Ibnu Hajar Asqalani dalam Lisanul Mizan:6/202. Mereka menghukum hadith ini adalah Palsu.






Hadith Ketiga:




وهوشهر أوله رحمة , ووسطه مغفرة , وآخره عتق من النار




Maksudnya : Awalnya (bulan Ramadhan) adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan akhirnya dalah pembebasan dari api neraka.




Abu Hatim dalam Al’Ial li ibni Abi Hatim : 1/249, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Lisanul Mizan : 2/169, Az-Zahabi dalam As-Siyar: 5/207, Syeikh al-Albani dalam as-Silsilah Ad-Dho’ifah: 2/262. Mereka menghukum hadith tersebut sebagai Mungkar.




Hadith Keempat :






إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ نَظَرَ اللَّهُ إِلَى خَلْقِهِ الصُّيَّامِ ، وَإِذَا نَظَرَ اللَّهُ إِلَى عَبْدٍ لَمْ يُعَذِّبْهُ أَبَدًا ، وَلِلَّهِ ، عَزَّ وَجَلَّ ، فِي كُلِّ يَوْمٍ أَلْفُ أَلْفِ عَتِيقٍ مِنَ النَّارِ .




Maksudnya : “Ketika malam pertama bulan Ramadhan, Allah S.W.T melihat makhluknya, ketika Allah S.W.T melihat kepada seorang hamba maka Dia tidak akan mengazabnya selama-lamanya dan Allah S.W.T pada setiap hari memiliki seribu hamba yang dibebaskan dari neraka”.






Al-Juzajani menyatakan bahawa perawi hadith ini iaitu ‘Uthman bin Abdillah Al-Qurasyi Al-Umawi Al-Syami adalah seorang pendusta hadith dan suka mencuri hadith. Ibnul Jauzi dalam al-Maudu’at 2/104, Ibnu al-Iraqi dalam Tanzihusy Syari’ah 2/146, Asy-Syaukani dalam al-Fawaidul Majmu’ah hal 85 dan ramai ulama menghukum hadith ini sebagai Palsu.






Ini adalah sebahagian daripada hadith-hadith yang masyhur kita dengari mengenai kelebihan-kelebihan bulan Ramadhan. Akan tetapi ramai dikalangan kita yang suka mengambil sikap tidak kritis terhadap periwayatan hadith.




Hadith Sohih




Oleh itu mari kita lihat hadith-hadith yang sahih mengenai kelebihan dan keistimewaan bulan ramadhan yang boleh kita amalkan dalam melengkapkan diri kita dan beribadah dengan cara yang sahih dan dituntut oleh Islam.








Hadith Pertama




عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( من صام رمضان إيمانا واحتسابا ، غُفر له ما تقدم من ذنبه ) رواه الشيخان




Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w : Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan pahala Allah maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).






Hadith Kedua




عن أبي أيوب الأنصاري رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال ، كان كصيام الدهر ) رواه مسلم




Maksudnya : Daripada Abu Ayyub al-Ansori r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:




Siapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari pada bulan Syawwal seumpama dia telah berpuasa selama setahun. (Riwayat Muslim).




Hadith Ketiga




عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( قال الله عزوجل : كل عمل بن آدم له إلا الصيام ؛ فإنه لي وأنا أجزي به ، والصيام جنّة ، وإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب ، فإن سابّه أحد أو قاتله فليقل : إني امرؤ صائم ، والذي نفس محمد بيده لخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك ، للصائم فرحتان يفرحهما : إذا أفطر فرح ، وإذا لقي ربه فرح بصومه ) رواه البخاري و مسلم .




Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadith Qudsi yang bermaksud “ Setiap amalan anak Adam kepunyaannya kecuali puasa, Sesungguhnya puasa tersebut untuk-Ku dan Aku yang memberikan ganjaran tersebut. Puasa itu perisai, apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah diantara kamu berkata kotor dan memaki hamun, Jika ada yang memaki atau mengajak untuk bergaduh maka katakanlah sesungguhnya aku berpuasa. Demi nyawa Muhammad di tanganNya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada minyak kasturi. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya dengan puasa yang dikerjakannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).




Hadith Keempat




عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه ، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة ، يقول الصيام : أي رب ، منعته الطعام والشهوات بالنهار فشفعني فيه ، ويقول القرآن : منعته النوم بالليل فشفعني فيه ، فيشفعان ) رواه أحمد .




Maksudnya : Daripada Abdullah bin Amr r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud, Puasa dan al-Quran adalah pemberi syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat. Lalu puasa berkata “ Wahai Tuhan, aku telah mengahalangnya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka terimalah syafaatku ini untuknya”. Kemudian al-Quran telah berkata “ Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada tidur pada waktu malam, maka terimalah syafaatku untuknya. Kedua-duanya memberikan syafaatnya. (Riwayat Ahmad)




Mudah-mudahan Ramadhan kali ini akan membawa keberkatan yang melimpah dalam hidup kita dengan mengamalkan segala ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan meninggalkan segala larangannya. Akhir sekali akan menjadikan kita di kalangan hambaNya yang bertaqwa.

Friday, March 30, 2012

HARAM SAMBUT APRIL FOOL


April fool iaitu 1 april biasanya disambut oleh seluruh manusia di dunia ini yang pada zahirnya beranggapan hari april fool ialah hari untuk mengenakan rakan-rakan atau keluarga. Hari April fool ini sepertinya hari perayaan syaitan dan iblis kerana hari ini seluruh umat manusia menghalalkan apa yang diharamkan iaitu MENIPU dan BERGURAU MELEBIHI BATAS.
Tidak dinafikan bergurau( dalam konteks positif dan tiada unsur penipuan dan seumpamanya) adalah tidak salah. Namun pada hari april fool ini, kita dapati pelbagai gurauan melampau dan malah ada yang sampai menimbulkan dendam dan sebagainya. Perkara inilah yang perlu kita titik beratkan dan perhatikan.
Persoalan utama sekali wajarkah kita sebagai seorang muslim menjadi antara mereka yang merayakan april fool ini? Adakah april fool ini satu hari dimana manusia yang kononnya bijak pandai akan menjadi hamba nafsu dan syaitan?

Fatwa-fatwa ke atas April Fool

Dr. Yusuf al-Qaradawi hafizahullah menyebutkan:

Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani].

Sebahagian hadis Nabi sallallahu alaihi wassalam turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang di dalam apa bentuk pun. Sambutan ini (hari April Fool) adalah dilarang kerana empat sebab:

1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.

Shaikh Atiyyah Saqr pula menyatakan:

Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.

Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan. 

Shaikh Shalih Fauzan menyatakan:

Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari (hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita akan mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur. Oleh itu sama-samalah kita menjauhi budaya menipu dan” mengenakan” orang lain atas alasan kononnya untuk  bersuka-suka dan sekadar berseronok sahaja. Janganlah kita tertipu dengan agenda golongan bukan Islam yang mahu melihat kita berpecah belah, cemuh mencemuh, tipu menipu dan sebagainya. Semoga artikel yang ringkas ini member faedah kepada kita untuk menjauhi perkara yang di tegah dalam agama. Wallahu a`lam.
 
PUSAT ISLAM,
UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA
MFM

Saturday, March 10, 2012

Live channel

This live channel is embedded in this post during international women conference Tunisia

Watch live streaming video from khilafah at livestream.com